Friday, February 4, 2011

Jangan Pinta Kematian Ayahmu

Konflik antara ibu-bapa dan anak  pasti terjadi. Walau bagaimana sabar dan bijaksananya kita mentadbir  keluarga, satu ketika masalah ini akan muncul jua. Apatah lagi kita yang  masih bermujahadah ini... tetap akan diuji Allah dengan karenah  anak-anak. Anak-anak pelbagai wataknya.

Ada  yang mudah mendengar, mudah dibentuk. Ada yang lemah, mudah terpengaruh...  perlu diperkukuhkan selalu. Ada yang bijak, boleh diharap menjadi  pengganti sewaktu diperlukan.

Dalam hal memilih jodoh misalnya,  kekadang lebih sukar daripada memilih jodoh anak-anak berbanding memilih  jodoh kita sendiri. Begitu juga dalam soal yang lain. Pandangan  anak-anak perlu diraikan. Apa yang kita nampak, kekadang ditolaknya...  bukan kerana dia derhaka, cuma belum sampai fikir dan congak mindanya ke  tempat tuju fikiran kita. Masa perlu dihulurkan, perbincangan perlu  diraikan. Jalan kita dahulu mungkin tidak relevan lagi dengan jalannya  sekarang.

Apapun, prinsip dan syariat tetap  sama. Mutlak sampai bila-bila. Pendekatan menegakannya sahaja yang  mungkin berubah dan beza. Kebelakangan ini kerap pula saya menerima  rintihan anak tentang saikap ibu-bapa. saya sungguh empati. Betapa  kekadang saya juga pekak dan buta daripada rintihan anak sendiri. Kita  perlukan hiadayah Allah untuk ketepatan dalam memimpin dan membuat  keputusan. Sayang, cinta dan kasih tidak menafikan kebijaksanaan,  ketegasan dan keadilan.

Untuk sahabatku di luar sana. Mari  berkongsi rasa bersama masalah yang pernah dihadapkan kepada saya  ini.  Mudah-mudahan, ada kebaikan yang dapat dipelajari dan diteladani oleh  kita semua... Kita  sebagai ibu-bapa, mahupun kita sebagai anak.

[B]Soalan:[/B]

Saya  seorang pelajar di IPTA. Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana.  Apa yang merisaukan saya ialah semenjak akhir-akhir ini, sifat ayah   sungguh berlainan. Rupa-rupanya dia mempunyai perempuan lain dalam  hidupnya. Apa yang saya tahu, dia telah 'diguna-gunakan' oleh perempuan  itu.

Hubungan ayah dengan kami adik  beradik semakin renggang. Ayah sering pulang lewat, malah kadang kala  tidak pulang langsung. Pelajaran kami adik beradik juga tidak  dipedulikan. Sejak itu saya mula membenci ayah. Perasaan benci ini  adakalanya menyebabkan saya mendoakan agar bapa saya mati sahaja. Saya  tahu perbuatan saya ini salah, tetapi apakah yang harus saya buat dalam  situasi ini?

[B]Jawapan:[/B]

Dalam Islam, kita dituntut supaya  menghormati ibu dan ayah kita, tidak kira dalam dalam apa jua keadaan  sekalipun. Bukan setakat tidak boleh menderhaka, malah jika kita tidak  mendoakan kesejahteraan keduanya pun, kita sudah boleh  dianggap anak  yang derhaka. Itu kalau kita tidak doakan kesejahteraan mereka, jadi  bagaimana pula kalau kita doakan kecelakaan ke atas mereka?

Bermakna itu lebih derhaka. Dan jika  anda doakan agar ayah anda mati, maka tidakkah itu bermakna bahawa anda  lebih jahat daripadanya? Saya akui masalah ini agak sulit ditangani oleh  anda atas kedudukan anda sebagai seorang anak yang dikira masih terlalu  muda untuk mengetahui punca sebenar masalah... Namun ini tidak bermakna  anda tidak boleh memainkan peranan yang penting untuk setidak-tidaknya  tidak menambah masalah lagi. Dan saya tegaskan, bahawa mendoakan supaya  seseorang mati, (lebih-lebih lagi ayah anda sendiri) bukanlah sebahagian  daripada cara menyelesaikan masalah ini.

Anda sendiri yang mengatakan bahawa ayah  anda telah 'diguna-gunakan'. Jika itu memang benar  patutkan beliau  yang dipersalahkan? Ya, kalaulah benar dakwaan anda itu, ini bermakna  ayah anda hanya menjadi 'mangsa' bukan pemangsa. Apabila menjadi mangsa,  maka ibu dan keluarga anda turut menerima akibatnya. Kalau demikian,  ayah anda wajar dibantu, bukan dibenci. Malah mungkin keadaannya lebih  buruk dan teruk daripada apa yang anda deritai.

Jadi sekarang, persoalannya ialah  bagaimana ingin 'menyelamatkan' ayah anda, bukan bagaimana hendak  'mematikan'nya? Dan sebagai seorang anak, anda punya banyak cara untuk  membantunya. Dan inilah yang akan membawa kepada penyelesaian kepada  masalah ini secara tidak lansung. Pertama, sekurang-kurangnya anda  perlulah membantu diri anda sendiri terlebih dahulu. Yakni dengan cuba  melawan perasaan kecewa, marah dan benci yang ada dalam diri anda itu.  Stabilkan diri anda dan jalanilah hidup dengan sebaik-baiknya. Anda  perlu faham bahawa masalah adalah 'rule of life' – hukum kehidupan yang  perlu diterima oleh semua manusia.

Pandanglah ke kiri dan ke kanan anda,  dan insafilah semua orang sedang berdepan dengan hukum kehidupan ini.  Malah, ada diantara mereka yang lebih sukar lagi daripada anda. Mungkin  bapa mereka meninggal dunia ketika mereka masih kecil dengan bilangan  adik-beradik yang begitu ramai, ibu pula sakit-sakit. Tetapi anda tidak  begitu... anda adalah lebih baik kerana ayah anda masih hidup, ibu anda  masih sihat.

Tujuan saya menceritakan hal ini ialah  untuk memberi semangat pada diri anda supaya tenang dan berpijak di bumi  nyata dalam menghadapi sesuatu masalah. Jangan terlalu mengharap dunia  akan jadi seperti yang kita idamkan. Dan jangan marah, jika anda dapati  ayah anda atau siapa sahaja tidak bersikap seperti yang anda kehendaki  kerana diri anda sendiri tidak bersikap seperti anda sendiri kehendaki...  betul tak? Jadi, rasionallah. Hadapi kenyataan dengan sewajarnya.

Hakikat ini akan membantu ayah anda  secara tidak lansung. Anda harus menjaga hati dan fikiran anda agar  tidak terlalu tekan dengan masalah ini. Janganlah hendaknya tekanan  masalah ini mengganggu tugas anda sebagai seorang pelajar IPTA yang  menjadi harapan dan sandaran bukan sahaja oleh keluarga anda bahkan oleh  masyarakat. Jangan tambah satu masalah lagi dalam keluarga anda... yakni  dengan masalah anda sendiri! Cubalah belajar dengan baik. Tumpukan  perhatian anda sepenuhnya. Anda sudah dikira dewasa untuk menganggap  masalah ini sebagai cabaran bukan halangan.

Tentu anda punya adik-adik yang masih  muda, tunjuklah teladan yang baik. Mereka melihat anda, maknanya jika  anda 'stabil' dalam menghadapi cabaran ini, maka mereka juga akan  mendapat suntekan semangat. Sebaliknya, jika mereka melihat anda goyah,  mereka juga akan goyah dan mungkin terus patah.

Hendaklah anda menyedari hakikat bahawa  mempunyai seorang ayah yang bermasalah adalah jauh lebih baik daripada  tidak ada ayah langsung. Sekurang-kurangnya ayah anda masih pulang juga  walaupun kadang-kadang terlewat. Maka sambutlah kepulangan dengan baik,  jangan diboikot atau dipulau. Api tidak akan dapat dipadamkan dengan  api. Teruskan peranan anda sebagai seorang anak. Dekatilah dirinya... Dan  dengan kedudukan anda sebagai seorang siswa saya yakin anda adalah  seorang anak yang diharapkannya.

Dia mempunyai rasa bangga, yakin dan  hormat terhadap anda. Pergunakanlah kelebihan ini untuk mendekati  dirinya. Bila sudah ada interaksi maka mudahlah anda berkomunikasi  seterusnhya mula menyelami masalahnya. Insya-Allah, nanti anda mendapat  gambaran masalah ini dengan lebih luas dan jelas. Nanti anda akan tahu  apakah punca dan kenapa ia berlaku. Siapa pemangsa, kenapa ayah anda  boleh terjerat dan apa umpan yang digunakan dalam keadaan ini?  Sekurang-kurang ini akan menghilangkan kebencian anda terhadapnya kalau  tidakpun menyelesaikan masalah ini secara keseluruhan.

Semua itu akan membetulkan persepsi  seterusnya sikap anda terhadap ayah anda. Dan barulah nanti anda tahu  benar-benar apakah ruang lingkup masalah itu. Apakah  sebab dan  kesannya. Ingatlah, masalah yang sudah kita tahu, kata pepatah, adalah  separuh selesai. Ya, setakat ini saya kira anda sudah faham bahawa saya  ingin mengajak saudara supaya menyelesaikan masalah ini berdasarkan  sumber yang ada pada diri anda sendiri. Lingkungan penyelesaian yang  cuba saya ketengahkan ialah... bertindaklah dengan kuasa dan pengaruh yang  ada pada diri anda sendiri.

Dalam konteks ini, saya ingin  mengingatkan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda bahawa doa merupakan  senjata yang ampuh bagi orang mukmin. Di sini anda  telahpun mempunyai  'senjata' untuk menangani masalah ini. Cuma senjata itu nampaknya sudah  tersalah guna. Senjata itu  digunakan untuk menikam ayah anda,  yang  sebenarnya turut menikam diri anda sendiri. Daripada anda berdoa  kematian ayah, bukanlah lebih tepat berdoa untuk keselamatannya?

Doakan ayah anda dari dianiaya orang,  'diguna-gunakan' dan sebagainya. Ingatlah, doa anak yang soleh terhadap  ayahnya pasti dimakbulkan Allah sama ada ayah itu masih hidup atau mati.  Sama ada ayah itu masih siuman atau telah 'diguna-guna'. Jika benar  ayah anda diguna-gunakan, bermakna dia telah disihir. Hanya kuasa Allah  sahaja yang mampu melawan kuasa jahat yang didalangi oleh syaitan itu.  Oleh itu apa yang mampu anda lakukan ialah berdoa, sembahyang hajat dan  bacalah ayat suci al-Quran serta beramallah dengan niat melawan sihir  yang  sedang membelenggu ayah anda itu. InsyaAllah, dia akan sembuh  semula dan menjalankan tanggung jawab sebagai ketua keluarga.

Perasaan benci tidak pernah  menyelesaikan masalah. Bagaimana anda hendak mengikhlaskan diri berdoa  untuk ayah, sedang perasaan benci ada dalam diri anda? Wajar saya  ingatkan, perasaan benci mesti terlebih dahulu dibuang sebelum anda  berdoa untuk kesejahteraannya. Doa yang dipanjatkan berserta  rasa benci  tidak akan diperkenankan.

Rasulullah saw pernah bersabda bahawa  doa seorang ibu terhadap anaknya adalah doa yang paling makbul. Ketika  ditanya mengapa? Rasulullah saw menjawab, "kerana ibu paling menyayangi  anaknya." Oleh itu saya mengingatkan , sayangilah ayah anda walau apa  jua keadaannya. Berbuat baik terhadap ayah bukanlah kerana kebaikan yang  telah, sedang dan akan dicurahkannya tetapi kerana itu perintah dari  Allah. Jika anda benar-benar cintakan Allah, maka berbuat baiklah kepada  ibu bapa tanpa melihat apa jua keadaannya.

Permasalahan orang tua, lebih manis jika  orang tua yang menyelesaikannya. Anda terlalu muda untuk menangani  masalah ini secara langsung. Ibu, bapa saudara serta sanak-saudara yang  lain mungkin juga sedang memikirkan bagaimana menyelesaikan masalah ini.  Berilah mereka masa. Peranan anda pula ialah apabila sesekali ayah  balik, tunjukkanlah kemesraan tanpa apa-apa perubahan. Ceritakan masalah  kepadanya tanpa mendesak-desak apalagi menggugut. Ini supaya dia rasa  dihormati sebagai ayah terhadap anak-anak-anaknya, Jadi andalah terlebih  dahulu mesti menunjukkan yang anda masih anak yang menyayanginya.

Mungkin dengan cara ini akan  menyedarkannya bahawa kehadiran seorang 'perempuan' lain dalam hidupnya  boleh dan akan memungkinkan dia kehilangan anak-anak yang disayanginya.  Tidak mustahil selepas itu nanti, dia yang sebenarnya dalam dilema  terpaksa membuat pilihan...apakah memilih anak-anaknya atau memilih  'perempuan' itu. dan jika anda telah menyayangi, mengasihi dan mendoakan  kesejahteraannya, saya tidak teragak-agak lagi buat menyatakan bahawa  ayah anda akan memilih anda.

Anak ku,

Barangkali ayah kita bukan seorang yang baik, tetapi sebagai anak kita mesti dapat melihat dan menghargai kebaikan ayah kita!

- [LINK=/index.php]Artikel iluvislam.com[/LINK]

No comments:

Post a Comment